Hanya Untuk Peminat Repsol Honda, Spesifikasi Kekal Sama

Tidak dapat dinafikan bahawa MotoGP meninggalkan impak besar untuk para peminatnya seluruh dunia. Perlumbaan motosikal terkenal dunia ini mempunyai bilangan peminat yang sangat ramai khususnya di Asia. Ada yang sanggup membelanjakan duit memodifikasi motor hanya untuk kelihatan sama dengan pelumba kesayangan.

Kebanyakan peminat sukan MotoGP ini datang dari negara-negara Asia seperti India, Indonesia dan Filipina. Beberapa pengeluar motor seperti Honda, Yamaha, Suzuki dan juga KTM, menawarkan versi edisi khas untuk motor 200cc yang diinspirasikan dari motor-motor MotoGP. Terbaharu, Honda memperkenalkan edisi Repsol Honda untuk Hornet 2.0 dan Dio.

Sebagaimana yang sedia maklum, Hornet 2.0 ini adalah motor naked dan Dio pula merupakan sebuah skuter kecil yang kini didatangkan dalam versi Repsol Honda. Dua varian edisi terhad ini dilengkapi dengan grafik yang diilhamkan dari pasukan Repsol Honda yang pastinya tidak akan dilepaskan oleh para pengikut dan peminat pasukan ini. Tidak keterlaluan kalau dikatakan Repsol Honda ini sudah pun menjadi ikonik untuk peminat MotoGP.

Namun begitu, kedua-dua varian ini tidak didatangkan dengan sebarang penambahan berbanding standard yang lepas. Keistimewaannya semata-mata pada tema Repsol Honda dan semua spesifikasinya kekal sama. Bagi Honda Hornet 2.0, ia dilengkapi enjin PGM-FI HET bersesaran 184.40cc. Kuasa maksimum 17hp (12.7kW) pada 8,500rpm dengan 16.1Nm @ 6,000rpm tork puncak. Manakala Honda Dio pula dilengkapi dengan silinder tunggal 110cc, mudah untuk ditunggang walaupun dalam keadaan bandar yang sentiasa sesak.

Sumbar : RideApart.com