Hanya Ducati untuk Zaidi

Di waktu senggang, sesuai benar berjalan-jalan di bandar Ipoh, sambil cuci-cuci mata. Dalam sibuk mencuci mata, terserempak seorang brader ni yang kebetulan memang dah lama kenal. Macam mana boleh kenal? Ipoh ini taklah besar mana pun, kan? Tambah pula bila kita jenis yang sering menghadiri program-program belia dan apa juga aktiviti yang seangkatan dengannya, peluang untuk berjumpa memang selalu ada dan terserempak sipi-sipi. Kali ini, kita berkesempatan bersama saudara Ahmad Zaidi Ismail yang dikenali sebagai Eddie atau panggilan di laman sosialnya, Zaidi Ipoh.

Seorang usahawan muda dalam bidang takaful dan menetap di Ipoh, Perak, Zaidi boleh dikatakan antara ikon belia paling berjaya dan cukup dikenali di sini. Mula berjinak-jinak dengan dunia permotoran dan motosikal berkuasa tinggi sejak tahun 2012 di usianya 26 tahun, motosikal pertama yang dimilikinya merupakan Ducati Monster 795. Disebabkan minat yang begitu mendalam dalam dunia dua roda, beliau telah bertukar angin pula ke Ducati Panigale 899 pada tahun 2018. Ya, sebuah lagi motosikal Ducati!

Bagi makluman anda, nama Panigale berasal dari nama sebuah pekan kecil Borgo Panigale di Itali. Rekaan keseluruhan Panigale menampilkan gaya dengan lampu hadapan LED sebagai ciri signature dan fairing hadapan yang berfungsi sebagai perlindungan serta aerodinamik selain pada masa sama menyalurkan udara ke ruang enjin. Bahagian belakang dengan rekaan lampu berbentuk ‘X’ jelas kelihatan dan tampil menarik dengan lubang udara bawah tempat duduk dilihat lebih agresif.

Kerangka aluminium monocoque direka secara ergonomik menjadikan posisi penunggang berada dalam keadaan selesa sama ada di jalan raya atau di litar lumba. Panigale dipasangkan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) Bosch bersama angkup Brembo M4.32 untuk jarak membrek lebih pendek dan stabil ketika keadaan jalan raya basah atau kering. Dilengkapkan dengan ciri-ciri ini, maka tidak hairanlah Panigale menjadi pilihan hati Zaidi dan terus kekal memilih jenama Ducati sehinggi kini.

Sebagaimana peminat motor yang lain, Zaidi juga bergiat aktif dan menyertai kelab-kelab motosikal seperti Desmo Owners Club Malaysia (DOCM) dan Perak Desmo Owners Club (PDOC). Zaidi merupakan antara orang penting dalam PDOC yang terdiri daripada 70 orang ahli. Beliau merupakan seorang ahli yang aktif dan sering menyertai program-program anjuran kelab yang diadakan saban tahun. Bagi beliau, peluang yang ada untuk bertemu ahli-ahli kelab yang lain adalah sangat bernilai di mana beliau dapat menambah kenalan selain bertukar pandangan, berkongsi minat serta mengeratkan lagi hubungan antara ahli kelab.

Sekiranya berkesempatan, beliau tidak melepaskan peluang untuk beraksi di litar Sepang. Bagi memastikan motosikal tunggangannya ligat beraksi di litar lumba tanpa sebarang masalah, beliau menggunakan tayar Supercosa untuk motosikalnya. Zaidi juga mengekalkan warna asal motosikalnya iaitu warna asli Ducati. Beliau lebih gemar menggunakan barangan standard atau keluaran original daripada kilang. Hanya sedikit pengubahsuaian dilakukan di bahagian ekzos motosikalnya. Boleh dikatakan tak banyak sangat penambahan yang dilakukan kerana beliau merasakan kuasa yang sedia ada sudah cukup memadai untuk tunggangan yang betul-betul hebat. Aduh, dah la kacak. Motor merecik pulak tu!