“Syukur Alhamdulillah. Rezeki Syawal,” tulis Hafizh Syahrin Abdullah dalam laman sosialnya selepas dimaklumkan meraih satu mata berharga pada aksi perlumbaan GP Le Mans. Hafizh meraih satu mata berharga selepas Lorenzo Dalla Porta hilang kelayakan kerana melanggar syarat perlumbaan.
Mata yang diraih Porta ditarik semula dan ini bermakna Hafizh yang berkedudukan terakhir untuk mata kedudukan perlumbaan Moto2 di Le Mans meraih satu mata berharga.
Berita itu pasti menggembirakan pelumba negara itu selepas jenteranya pada perlumbaan yang berlangsung itu mengalami masalah teknikal yang menyaksikan dia menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-16 biarpun pada satu ketika berada di posisi enam terbaik.
Porta menduduki tempat ke-11 semasa perlumbaan Moto2 Le Mans dan berjaya mendapatkan lima mata berharga.
Sumber : Harian Metro