Finja, Kembar Ninja Dari China?

Pernah tak anda terfikir, bagaimana China boleh ‘membuat’ semula produk sedia ada tetapi masih diterima ramai dan terlepas begitu sahaja? Dari iPhone tiruan, jam tangan tiruan dan juga barang kemas tiruan. Sekarang, motosikal tiruan!

Apa yang anda lihat sekarang ini ialah Xinshiji Finja 500. Jelas dan ketara, dari mana sumber ilham serta inspirasi untuk menghasilkan motor ini.

Sekali imbas ia kelihatan sama dengan motosikal Kawasaki Ninja ZX-10R. Segala-galanya. Sama. Dari tongkat motosikal yang agresif, fascia depan dan juga livery telah ‘dipinjam’ tanpa kebenaran atau sebarang kredit diberikan kepada Kawasaki. Ia seperti, Xinshiji mengambil sebuah unit Ninja ZX-10R dan meletakkannya ke sebuah mesin pencetak untuk menghasilkan motosikal keluarannya sendiri.

Sebagai permulaan, Finja ini agak kasar dengan beberapa perincian yang tidak kemas seperti jarak panel yang tidak sempurna dan casis tidak konsisten. Perkara ini tidak mengejutkan pun, lihat sahaja pada nama yang dipilih. Finja.

Mungkin ia kelihatan sepantas halilintar tapi ia cuma menang pada gaya. Tidak seperti Kawasaki Ninja ZX-10R, Finja menggunakan enjin 500cc motor parallel-twin.

Apa agaknya perasaan peminat dan pemilik Ninja ZX-10R bila melihat Finja ni?

Sumber : Rideapart