Farish Cuba Kekalkan Kedudukan

Md Farish Iqmal Khayrul Elyas dari pasukan Honda KC Racing berjaya mengorak langkah ke podium untuk pertama kalinya di pusingan kelima Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix yang berlangsung di Litar Jempol. Selama empat pusingan Farish telah bergelut untuk mendapat tempat di podium. Bertambah dengan penguasaan trio sepasukan yang telah membina benteng pertahanan yang kukuh di atas podium untuk empat pusingan berturut-turut.

Namun begitu, Farish tidak berputus asa dan pada pusingan kelima, beliau berjaya mendapat peluang untuk memintas pesaing terdekatnya sekaligus merampas kedudukan ketiga pada saat-saat terakhir perlumbaan tersebut.

Menurut beliau, “Saya agak ketinggalan oleh Syamil namun pada saat-saat terakhir, saya mendapat peluang untuk memintas beliau di selekoh kedua terakhir apabila beliau menghadapi masalah teknikal dengan jenteranya. Kemudian, saya terus kekalkan kelajuan jentera sehingga ke garisan penamat. Strategi saya selepas berbincang dengan pasukan saya pada hari itu adalah untuk mengekori kelompok di hadapan saya dan mengekalkan momentum saya sepanjang perlumbaan.”

“Langkah seterusnya adalah untuk mencari strategi yang bersesuaian dengan perlumbaan di Litar Sepang. Persiapan saya berfokus kepada pembinaan diri dari segi fizikal dan mental. Matlamat saya untuk pusingan keenam adalah untuk mendapat tempat tiga ataupun lima teratas.”

Wan Rosli Bin W. Mohamad, ketua pasukan Honda KC Racing berkata, “Untuk pusingan kelima hari itu, pasukan kami telah membuat persediaan yang lebih baik dan sekaligus membetulkan kelemahan pada jentera Farish. Ini telah membuahkan hasil.”

“Bagi pusingan seterusnya, kami akan terus mencari dan membuat pengubahsuaian yang bersesuaian ke atas jentera untuk memaksimumkan peluang untuk berjaya.”

Pusingan Keenam Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang Utara dari 6-7 Ogos 2022. Pengunjung dan peminat sukan permotoran dijemput ke litar dan juga berpeluang memenangi motosikal jenis Honda RSX 150 dengan pembelian “Happy Bag”.