Evolusi daripada tema ‘Passion’, Iring Semangat Juang Raul Fernandez dan Ai Ogura

Pasukan Trackhouse MotoGP dan Gulf Oil International secara rasmi mendedahkan reka bentuk (livery) terbaharu jentera Aprilia RS-GP bagi menghadapi saingan musim 2026. Reka bentuk ini merupakan evolusi daripada tema ‘Passion’ yang pernah memenangi undian peminat pada musim lepas, sekali gus mengekalkan identiti warna biru dan jingga Gulf yang cukup sinonim dengan sejarah kegemilangan sukan permotoran dunia.

Selepas kejayaan membanggakan pada musim 2025 termasuk kemenangan sulung Raul Fernandez di Grand Prix Australia. Kerjasama ini akan diteruskan di lima litar terpilih sepanjang tahun ini. Peminat bakal menyaksikan jentera ini beraksi di Thailand, Brazil, Itali (Mugello), Indonesia, dan juga di Grand Prix Malaysia. Penampilan di Mugello bakal menjadi detik bersejarah kerana ia merupakan kali pertama livery Gulf muncul di litar Eropah dalam kelas premier MotoGP.

Satu perincian baharu yang diperkenalkan bagi musim 2026 adalah paparan nama pelumba yang diletakkan dengan jelas pada badan jentera. Langkah ini bertujuan untuk memperkukuh hubungan antara peminat dengan pelumba serta menonjolkan personaliti unik pasukan. CEO Gulf Oil International, Mike Jones, menyatakan rasa teruja untuk mengulangi momen podium dan kemenangan yang telah dicapai sebelum ini.

Dua pelumba berbakat, Raul Fernandez dan Ai Ogura, akan memulakan cabaran mereka dengan jentera Aprilia RS-GP edisi khas ini bermula di Grand Prix Thailand (27 Februari – 1 Mac). Pengasas Trackhouse, Justin Marks, menegaskan bahawa pasukan kini tidak sabar untuk mengecap kejayaan lebih besar bersama Gulf bagi tahun kedua penglibatan mereka dalam kancah MotoGP.