Pusingan 5 Kejuaraan Lumba Motosikal Asia (ARRC) 2026 di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang melakar detik bersejarah buat arena permotoran tanah air. Antara kategori yang mencuri tumpuan serta menggegarkan sorakan penyokong tempatan pastilah ASB1000, Supersports 600 (SS600) dan Underbone 150 (UB150). Dalam pada itu, sebilangan pelumba merentasi pelbagai pasukan dan negara masih lagi mengenang pemergian Allahyarham Farres Fadhil, pelumba berbakat dalam kategori UB150 bersama pasukan Cardinals Factory Racing Team ARRC, menerusi pelekat “In Loving Memory of Farres Fadhill #33” yang disematkan pada jentera masing-masing sebelum perlumbaan.
Kategori ASB1000 menyaksikan persaingan sengit sejurus pelepasan apabila Keito Abe (SDG HARC-PRO. Honda Philippines) merampas kedudukan paling hadapan sebelum dipintas Nakarin Atiratphuvapat (Honda Racing Thailand). Bagaimanapun, pelumba Jepun, Kaito Toba daripada FORTY FORGED ASIA RACING TEAM, mempamerkan tunggangan dominan dengan mencatatkan masa terpantas 2’06.128s di pusingan ke-7 untuk mengungguli saingan hingga garisan penamat menerusi catatan masa 29’37.223s. Cabaran awal turut diwarnai insiden kemalangan Adam Norrodin (AMI Suzuki Motorsport) dan masalah mekanikal Mohammad Adenanta Putra (Astra Honda Racing Team).
Di belakang Kaito, Hafizh Syahrin Abdullah daripada JDT RACING TEAM mengambil pendekatan bijak dan berisiko rendah demi merangkul takhta kejuaraan. Mengakhiri perlumbaan di tempat kedua menerusi masa 29’40.108s di hadapan Keito Abe di tempat ketiga (29’44.452s), Hafizh secara rasminya dinobatkan sebagai Juara Keseluruhan ASB1000 ARRC 2026 dengan berbaki satu pusingan.
Mengulas kejayaannya, Hafizh menzahirkan penghargaan setinggi-tingginya kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim atas kepercayaan yang diberikan, selain mengucapkan terima kasih kepada Pengurusan Pasukan Steven Tan, Pengurus Pasukan Razmin, krew, serta para peminat. Mendedikasikan kejayaan itu buat Allahyarham Farres Putra, Hafizh menegaskan: “Akhir sekali, kejayaan ini didedikasikan khas buat arwah adik saya, Farres. Kami tidak akan pernah melupakan kamu.”
Sementara itu, saingan kategori SS600 menyajikan pengakhiran yang cukup mendebarkan apabila Wahyu Nugroho daripada YAMAHA RACING INDONESIA mencuri kemenangan di selekoh terakhir dengan masa 22’03.535s. Perlumbaan bermula cemas apabila pemenang Race 1, Thanat Laoongplio (Honda Racing Thailand), terpaksa menarik diri akibat masalah mekanikal di pusingan pembuka.
Persaingan sengit berbalas serangan antara Kasma Daniel Kasmayudin (HONG LEONG YAMAHA RACING), Anupab Sarmoon (Yamaha Thailand Racing Team) dan Muhammad Helmi Azman (IDEMITSU Honda Racing Malaysia) memuncak pada pusingan terakhir. Kasma yang memimpin saingan tersasar sedikit di selekoh penamat, memberi ruang buat Wahyu menyelit dan memecut di trek lurus. Kasma terpaksa berpuas hati di tempat kedua (22’03.613s) dengan jurang tipis 0.078 saat, manakala Anupab di tempat ketiga.
Bagi kategori UB150 pula, kemuncak perlumbaan penuh dramatik apabila berlaku kemalangan berantai di selekoh terakhir yang melibatkan kelompok pelumba utama termasuk Wahyu Aji Trilaksana, Dimas Juli Atmoko, Adytya Fauzi, M. Syirat Sauki dan juara baharu Husni Zainul Fuadzy. Pusingan awal turut menyaksikan insiden kemalangan pelumba yang melibatkan Muhammad Adib Arsyad Mohd Hisam daripada UMA RACING YAMAHA MAJU MOTOR TEAM.
Fadli Rigani daripada YAMAHA LFN HP969 INDONESIA RACING TEAM yang bijak mengambil garisan luar berjaya mengelak rempuhan tersebut untuk muncul juara dengan masa 15’52.680s. Sorakan gempita kem MOTUL HONDA ASIA TEAM bergema apabila dua pelumba negara, Ahmad Darwisy Ahmad Sahir dan Shahrol Syazras Shahrol Yuzy, cemerlang mengunci podium berganda di tempat kedua (15’52.733s) dan ketiga (15’53.070s).
Pusingan 5 ARRC 2026 di Sepang ini membuktikan kehebatan serta mutu saingan tinggi pelumba dan pasukan tempatan apabila berjaya menguasai pentas podium dalam ketiga-tiga kategori tumpuan. Di sebalik kejayaan manis Hafizh Syahrin, Kasma Daniel serta gandingan Darwisy dan Syazras, kejohanan kali ini turut meninggalkan ingatan mendalam buat seluruh komuniti permotoran menerusi penghormatan yang diabadikan buat Allahyarham Farres.
TOP 3 Terpantas – ASB1000
1. Kaito Toba – Forty Forged Asia Racing Team (29’37.223s)
2. Hafizh Syahrin Abdullah – JDT Racing Team (29’40.108s)
3. Keito Abe – SDG HARC-PRO. Honda Philippines (29’44.452s)
TOP 3 Terpantas – Supersports 600 (SS600)
1. Wahyu Nugroho – Yamaha Racing Indonesia (22’03.535s)
2. Kasma Daniel Kasmayudin – Hong Leong Yamaha Racing (22’03.613s)
3. Anupab Sarmoon – Yamaha Thailand Racing Team (22’03.774s)
TOP 3 Terpantas – Underbone 150 (UB150)
1. Fadli Rigani – Yamaha LFN HP969 Indonesia Racing Team (15’52.680s)
2. Ahmad Darwisy Ahmad Sahir – Motul Honda Asia Team (15’52.733s)
3. Shahrol Syazras Shahrol Yuzy – Motul Honda Asia Team (15’53.070s)