Perak Bike Week diadakan buat kali pertama pada tahun 2013 dan berjaya mendapat tempat di hati para pencinta dunia permotoran. Bagaimanapun, acara ini berehat seketika pada tahun 2014 sebelum kembali menggegarkan Taman Tasik Taiping, lokasi sama di mana PBW pernah dianjurkan dan penganjuran kali kedua ini ternyata berlangsung dengan lebih meriah lagi.
Dianjurkan oleh Darul Ridzuan Group (DRG) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Perak, PBW 2015 ini telah berlangsung selama 4 hari bermula dari 29 Oktober sehingga 1 November yang lalu. Diraikan dengan penuh meriah, ternyata kehebatan acara PBW yang menggegarkan ini amat dirindui dan dinanti-nantikan para peminat dunia permotoran tanah air secara seluruhnya.
Sebagaimana rutin setiap kali penganjuran acara permotoran diadakan, pasti aktiviti berkonvoi dianjurkan kelab-kelab permotoran dan hal yang sama turut berlaku sepanjang empat hari PBW berlangsung. Keterujaan setiap para peserta menyemarakan lagi acara dan tidak sedikit pun mematahkan semangat walau dalam apa juga cuaca, sama ada berpanas mahupun berhujan.
Bertemakan “Not Just The Ride”, PBW 2015 ini dipadatkan dengan pelbagai aktiviti dan program menarik untuk disertai oleh para peserta dan pengunjung. Antaranya seperti pertandingan motosikal, persembahan motor, forum perdana bersama moderator Ustaz Hanafiah Malek serta Mr Os dan Ustaz Mat Cina selaku panel. Ini diikuti segmen cabutan bertuah, pertandingan kustom kapcai, Spritzer Eco Ride, persembahan dari artis-artis popular seperti Hana Febian, Cat Farish dan juga Fauziah Latiff.
Selain itu, para pengunjung juga berpeluang melawat gerai-gerai pameran yang melibatkan pempamer yang terlibat secara langsung dengan dunia permotoran. Antara yang mengambil bahagian dalam pameran ini adalah Race & Speed Garage, Duro, MP-R Fuel Saver, 1 Biker Spa, Lakar Hijau Accessories, FS Bikes, Kongsai High Speed Garage, Motorex, Superbike Crew dan banyak lagi.
Kehangatan dibawakan PBW 2015 tidak berkurangan dari hari pertama penganjurannya dan ia bertambah meriah dari hari demi hari sehingga majlis penutupan. Lebih hebat lagi apabila PBW 2015 berjaya menarik kehadiran dan menghimpunkan pelbagai jenis motor dari antik, old school serta yang dimodifikasi dengan cukup unik sekali. Manakala antara kelab-kelab permotoran yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam memeriahkan lagi PBW 2015 ini termasuklah Tabuan Motor, SP Streetcub, Lady Bikers Malaysia, Teluk Intan Bikers, SDMC dan banyak lagi.