Dari Taiping ke Melaka, Memahat Legasi Persaudaraan Dalam Jiwa

Deruman enjin yang memecah kesunyian pagi menjadi saksi bermulanya sebuah perjalanan yang jauh lebih bermakna daripada sekadar kembara jalanan. Kembara RRCT 3.0 merupakan perlambangan utuh kepada sebuah persaudaraan yang telah dibina dengan penuh disiplin dan kebersamaan selama empat tahun. Perjalanan menuju ke Melaka ini turut diperkuatkan dengan kehadiran penaja utama, Encik Ong yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif MO2 Lubricants. Beliau turut sama mengiringi konvoi dengan menggunakan kenderaan 4×4 sebagai tanda sokongan padu terhadap komuniti Road Rider Crew Taiping (RRCT).

Kisah bermula pada 1 Mei 2026, seawal jam 4.30 pagi apabila barisan motosikal mula meninggalkan bandar Taiping dalam suasana subuh yang dingin. Perjalanan jauh ini disulami dengan pengisian rohani menerusi solat Subuh berjemaah di R&R Tapah sebelum konvoi meneruskan tunggangan ke Tanjung Malim untuk sarapan pagi. Meskipun terpaksa berhadapan dengan cabaran trafik yang sesak menuju ke Negeri Sembilan, setiap peserta mempamerkan kematangan dan disiplin tinggi sehingga berjaya tiba di bumi Melaka sekitar waktu tengah hari.

Aktiviti hari pertama di Melaka diteruskan dengan menikmati hidangan ikonik Asam Pedas Pak Man sebelum menunaikan solat Jumaat. Seterusnya, semua peserta mendaftar masuk ke D’ Tepian Homestay untuk berehat. Walaupun hujan mula membasahi bumi pada sebelah petang, ia sedikit pun tidak mematahkan semangat ahli membeli bahan-bahan di AEON Bandaraya Melaka untuk sesi barbeku di sebelah malam. Sesi barbeku ini sekali gus menjadi ruang untuk perkongsian cerita dan gelak tawa, di mana malam tersebut diakhiri dengan sembang santai yang semakin mengeratkan lagi ikatan persaudaraan sesama ahli.

Memasuki hari kedua pada 2 Mei 2026, tenaga peserta dipulihkan dengan bersarapan di D’ Bukit, Duyong sebelum memulakan aktiviti jelajah warisan. Konvoi berpeluang menyusuri sejarah kesultanan Melayu menerusi lawatan ke Perigi Hang Tuah, A’Famosa, dan Istana Kesultanan Melaka yang menggabungkan elemen tunggangan dengan apresiasi warisan sejarah.

Menjelang tengah hari, para peserta singgah di Masjid Selat Melaka untuk bersolat sebelum berhenti makan di MITC. Walaupun hujan lebat beberapa kali memaksa konvoi berhenti berteduh, namun semangat setiap rider kekal kental dalam mengharungi setiap kilometer perjalanan.

Keunikan kembara kali ini diteruskan dengan kunjungan ke Coconut Shake Klebang tetapi tidak berkesempatan memasuki muzium kapal selam. Perjalanan diteruskan pula ke Bandar Hilir yang penuh dengan elemen pelancongan. Pengalaman malam di Melaka diserikan lagi apabila semua peserta menaiki River Cruise untuk menghayati keindahan Sungai Melaka serta kemeriahan di Jonker Walk. Hari kedua ditutup dengan makan malam yang menyelerakan di Kampung Morten sebelum peserta pulang berehat bagi mengumpul tenaga untuk perjalanan pulang keesokan harinya.

Hari terakhir iaitu pada 3 Mei dimulakan dengan solat berjemaah dan sebahagian besarnya memilih untuk keluar bersarapan di Bachang. Manakala sebahagian lagi memilih untuk berehat kerana keletihan semalam masih berbaki tetapi tidak dilupakan kerana ahli-ahli lain berpakat membungkus makanan. Seterusnya, para peserta memberikan fokus terhadap penyelenggaraan jentera termasuk penukaran minyak enjin.

Peluang ini juga digunakan para peserta menghasilkan kandungan kreatif untuk para penaja di Masjid Cina Melaka sebagai bukti komitmen penghargaan RRCT di atas setiap sokongan yang diterima. Selepas mendaftar keluar, para peserta konvoi singgah di kawasan kraftangan untuk membeli buah tangan. Sebelum meninggalkan bandar bersejarah itu, konvoi sempat menikmati hidangan masak lemak cili api yang asli di Gerobok Salai sebagai penutup selera.

Perjalanan pulang dalam suasana mendung diuji apabila sebuah motosikal mengalami kerosakan teknikal, namun semangat #WeStandTogether dibuktikan apabila bantuan segera dihulurkan oleh rakan-rakan termasuk bantuan tunda daripada Encik Ong dengan menggunakan kenderaan 4×4. Setibanya di Ipoh, peserta disambut dengan jemputan makan dari rakan biker sebelum meneruskan perjalanan pulang. Sekitar jam 9.30 malam, semua selamat tiba di Taiping.

Salam perpisahan yang dihulurkan bukanlah sebuah titik noktah, sebaliknya ia merupakan simbolik kenangan abadi yang akan terus mekar dalam sanubari setiap peserta. Sepanjang pengembaraan ini, kelancaran dan prestasi jentera telah didukung sepenuhnya oleh barisan penaja berwibawa seperti MO2 Lubricant, Tashimurai, D.I.D Malaysia, Pawaki, FT Garage, serta Ameer Bikers. Gabungan teknologi pelincir, cengkaman tayar, serta penyelenggaraan yang optimum ini telah memastikan setiap jentera mampu mengharungi perjalanan jauh dengan lebih konsisten dan selamat.

Kembara RRCT 3.0 ini terbukti bukan sekadar perjalanan fizikal dari Taiping ke Melaka, tetapi sebuah misi yang berjaya menguji kesabaran serta memperkukuh nilai ukhuwah. Tempoh empat tahun yang telah dilalui menjadi bukti kukuh bahawa kekuatan sebenar komuniti ini tidak terletak pada kehebatan jentera semata-mata, tetapi pada hati yang sentiasa bergerak seiringan. Setiap detik yang tercipta kini terpahat sebagai legasi persaudaraan yang membuktikan bahawa dalam dunia permotoran, kebersamaan adalah nadi segalanya.

SatuHati #WeStandTogether