Cuba Ulang Kejayaan Di Litar Sepang

Md Norhakim Md Norhafizullah dari pasukan ONEXOX Racing mengambil tempat di podium buat pertama kali semenjak berlumba di kategori CP125. Pelumba yang berasal dari Kelantan ini telah menampilkan prestasi yang lebih baik berbanding dengan prestasinya di pusingan pertama dan kedua. Tahun ini merupakan tahun kedua bagi Norhakim beraksi di kategori CP125.

Sebelum ini, Norhakim giat dalam kategori Wira KBS dan telah menaiki podium pada tahun 2020. Pada tahun 2021, beliau mengambil langkah untuk mencuba aksi yang lebih mencabar. Walaupun persembahan beliau tidak begitu menyerlah, Norhakim telah menunjukkan kebolehannya pada pusingan ketiga baru-baru ini apabila beliau berjaya menjejakkan kaki di podium.

Menurut Norhakim, “Saya akan cuba mengulangi kejayaan saya seperti di Litar Sepang yang lepas. Untuk itu, saya akan meneruskan latihan kecergasan fizikal agar dapat menguasai litar Terengganu yang agak teknikal.”

“Litar Terengganu adalah litar kegemaran saya. Saya dan rakan sepasukan akan melakukan yang terbaik untuk menjayakan pusingan keempat nanti. Matlamat kali ini adalah untuk mengumpul sebanyak mata yang mungkin bagi pasukan saya.”

Pengurus Pasukan ONEXOX Racing, Syed Ahmad Nizam Syed Ahmad berkata, “Walaupun masa adalah singkat, kami akan membuat persiapan pasukan dan memperbaiki kekurangan yang ada sekarang.”

“Kami berharap dapat meningkatkan lagi prestasi untuk pusingan yang akan datang.”