C70 Penuhi Jalanan Pulau Mutiara Dengan Gaya Tersendiri

Pulau Pinang menjadi saksi kepada kemeriahan yang mengujakan apabila sebanyak 70 buah jentera Honda C70 daripada pelbagai negeri membanjiri jalanan sempena acara Republic Honda Malaya – C70 Penang Attack yang berlangsung pada 12 dan 13 Julai 2025 yang lalu. Acara ini menghimpunkan komuniti Honda C70 dari Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Selangor, Perak dan Pulau Pinang.

Konvoi ini bukan sahaja mengukuhkan semangat persaudaraan antara pemilik jentera klasik ini, malah turut menarik perhatian orang ramai sepanjang sesi ronda-ronda santai sekitar lokasi ikonik di Pulau Pinang. Kehadiran mereka disambut meriah oleh komuniti C70 Penang yang turut serta mengiringi konvoi mengelilingi bandar.

Suasana ceria dan penuh warna-warni menyemarakkan semangat ukhuwah antara peserta yang rata-ratanya terdiri daripada peminat tegar motosikal klasik. Walaupun jentera yang digunakan berusia puluhan tahun, namun semangat dan gaya yang ditampilkan tetap segar. Kebanyakan motosikal yang hadir telah diubah suai dengan penuh teliti. Ada yang tampil retro, ada yang bergaya moden, namun semuanya kekal menghormati DNA asal C70 yang ikonik.

Acara ini turut menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara kelab-kelab dari negeri berbeza, sambil mempromosikan semangat berkendara yang beretika dan selamat di jalan raya. Ia sekali gus membuktikan bahawa kecintaan terhadap motosikal klasik seperti C70 tidak pernah lapuk dek zaman.