Bukit Haji Yusoff, Tikam Batu Jadi Tumpuan

Angin petang itu menghembus sepoi-sepoi bahasa diiringi deruman enjin berkuasa tinggi yang menjadi saksi kepada satu lagi peristiwa yang penuh bermakna khususnya buat warga Northern Owners Group (NVOG). Diadakan pada 22 Jun lalu di Bukit Haji Yusoff , Tikam Batu telah berlangsungnya aktiviti Weekend Ride Durian dan berjaya menyatukan para sahabat permotoran dari pelusuk utara tanah air.

Waktu ditetapkan tepat jam 2.22 petang di susur keluar tol Bertam, diikuti tayar golek (mula bergerak) sekitar jam 2.33 petang, membuka lembaran perjalanan penuh makna di bawah kelolaan saudara Amer JMC dan Ustaz Yunos, individu yang bertanggungjawab (person-in-charge) yang sangat dedikasi.

Perjalanan yang dirancang bukan hanya untuk menunggang dan menikmati keindahan alam, tetapi menjadi medium memperkukuhkan silaturahim antara ahli-ahli kelab yang merindui momen bersama. Kehadiran rakan-rakan bikers disambut mesra oleh keluarga tuan rumah, Kphjyusoff Haji Umrah Ziarah, Haji Yunus Kphajiyusoff dan Hj Wafdi Hj Yusoff, yang bermurah hati menjamu durian segar dari dusun bukit mereka. Para peserta turut dihidangkan pelbagai juadah minuman yang menyegarkan.

Bukan sekadar menjamu selera, aktiviti ini juga menjadi ruang pertemuan hati dan jiwa dalam suasana santai namun sarat makna kekeluargaan. Di bawah pohon-pohon rendang, tawa riang dan gurau senda bergema, membuktikan bahawa NVOG bukan hanya sebuah kelab motosikal tetapi juga sebuah keluarga besar yang diikat dengan semangat ukhuwah tanpa sempadan. Ada yang baru kenal, ada juga yang bersahabat bertahun-tahun lama dan semuanya disatukan dalam semangat satu hati satu jalan.

Ramai yang mengakui sudah lama NVOG tidak mengadakan acara makan-makan sebegini. Aktiviti sebegini bukan sahaja menyemarakkan semula semangat setiakawan, malah menyuburkan kembali budaya kunjung-mengunjung dan saling menghargai antara satu sama lain. Ia turut membuka ruang kepada ahli baru untuk lebih mesra dan kepada ahli lama untuk memperkukuh ikatan yang telah terjalin sejak penubuhan kelab ini lebih sedekad lalu.

Tahniah diucapkan kepada semua yang hadir dan meluangkan masa menjayakan program ini. Dari suara enjin yang bergema di jalanan hingga alunan gelak tawa di dusun durian, semuanya melakar satu kenangan yang akan terus mekar dalam ingatan warga NVOG. Kalian adalah nadi kelab ini kerana tanpa kalian, sunyilah perjalanan, hambarlah destinasi. Sesungguhnya, semangat NVOG itu bukan pada jentera yang ditunggang, tetapi pada hati-hati yang bersatu dalam sebuah keluarga bernama sahabat permotoran.

Dengan penuh rasa syukur dan harapan, semoga aktiviti sebegini terus dihidupkan dari masa ke masa. Kepada yang sudi menjamu, yang hadir memeriahkan, dan yang membantu menjayakan – terima kasih yang tidak terhingga. NVOG terus melangkah, bukan sekadar menawan jalanan, tetapi juga menawan hati-hati sahabat sejati.