BMW S 1000 RR Dipertingkatkan untuk Tahun 2022

Superbike BMW S 1000 RR merupakan antara model yang paling popular dan telah dijual dengan bilangan yang banyak di seluruh dunia, termasuklah di Malaysia. BMW Motorrad akan mempertingkatkan model ini sedikit untuk tahun 2022.

Mula-mula sekali, mereka memperkenalkan warna yang baharu yang digelar “Style Passion with Mineral Grey Metallic.” Tetapi kami rasa lebih senang jika dipanggil warna hitam sahaja.

Selain daripada itu, model untuk tahun 2022 akan mendapat M Chassis Kit (kit cesi untuk model M 1000 RR) sebagai stended yang termasuk tapak pasangan lengan ayun yang bolehubah, serta pembolehubah ketinggian tempat duduk (tanpa mengganggu pelaras prabeban suspensi belakang).

Seperti biasa, BMW menawarkan pelbagai pakej yang boleh ditambahkan oleh pembeli.

Opsyen pertama ialah pakej Dynamic yang memberikan mod tunggangan Riding Modes Pro, suspensi electronic Dynamic Damping Control (DDC), kawalan jelajah (cruise control), serta pemanas hendel.

Pakej Sport tidak akan ditawarkan lagi. Sebaliknya, BMW menawarkan pakej Race. Pembeli boleh memilih di antara rantai M Endurance dan peredam bunyi jenis “sport,” ataupun sistem ekzos M Titanium.

Terdapat juga Pakej M yang mengandungi pelana M Sports, battery M lightweight, pencatat lap M GPS, roda karbon M atau roda tetuang M, penutup tangki berwarna hitam.

Model ini belum dilancarkan di Malaysia jadi kita belum mendapat harganya.