Motosikal Honda Wave merupakan satu siri motosikal kapcai sebagai pengganti kepada siri Honda Cub yang dilancarkan pada tahun 1995 untuk pasaran Asia dan Eropah. Honda Wave menggunakan kerangka tiub keluli dan set badan diperbuat daripada plastik. Berbeza dengan Honda Cub yang menggunakan kerangka keluli yang bertindak sebagai badan utama.
Sebagaimana yang diketahui, Honda Wave boleh didapati dalam tiga pilihan sesaran enjin; 100cc, 110cc dan 125cc. Manakala Honda Wave 100R dilancarkan pada Julai, 2003. Rekaan yang jauh lebih bergaya, anggun dan didatangkan dengan ciri-ciri yang praktikal bagi memenuhi keperluan penunggang.
Baiklah, itu serba sedikit latar belakang atau sejarah Honda Wave yang tidak kurang popular dan mempunyai peminat tersendiri di Malaysia. Salah seorangnya, saudara Ahmad Fikri atau lebih mesra dengan panggilan Kikie Lala.
Bukan calang-calang orangnya dan cukup terkenal dalam kalangan peminat kereta khususnya autoshow. Beliau pernah menjadi penghias muka hadapan majalah Roadstar dengan motor Yamaha LC135 yang diubahsuai menjadi X1R. Kali ini, Kikie Lala tampil dengan Honda Wave 100R yang diubahsuai ala-ala Thailand.
Berasal dari Alor Setar, Kedah dan bertugas di salah sebuah syarikat swasta, Kikie Lala juga mempunyai sebuah kedai kecantikan kereta di Alor Setar. Mengimbas kembali perjalanan beliau bersama Honda Wave 100R ini, beliau memperolehinya dari seorang kawan selepas menjual 135LC convert X1R kerana ingin berubah angin.
Awalnya, beliau ingin membeli sebuah motosikal untuk kegunaan ke tempat kerja. Kebetulan pula, seorang kawan karibnya ingin menjual motor Honda Wave ini. Tanpa berfikir panjang, beliau membeli Honda Wave 100R milik kawan karibnya dengan harga yang berpatutan.
Motosikal ini kekal bertahan sebagai kenderaan ke tempat kerja untuk beberapa hari. Namun, beliau tidak dapat melawan perasaan dan hobi yang sudah sebati dengan jiwa untuk mengubahsuai kenderaan yang sentiasa menebal dalam diri.
Akhirnya, beliau merancang untuk mengubahsuai Honda Wave 100R kepada Honda Wave Thailook dan bermula episod mengubahsuai secara keseluruhannya. Kikie Lala memilih Jan Cartoon Garage dan Peacetendesign untuk melaksanakan rancangannya.
Beliau memilih cover set standard Wave 100R yang dipadankan dengan warna Monkey Blue Honda. Rim hadapan dan belakang menggunakan aloi 17 inci 1.4 Boushi Thailand. Buyung depan dan belakang CNC Wave 125. Manakala arm belakang dipadankan dengan Wave 125 King Drag. Bagi sistem pemberhentian, Brembo Wave 125 digunakan untuk brek hadapan.
Selain itu, Kikie Lala turut menambah beberapa aksesori seperti carbon fiber water transfer serta meter volt digitial. Bahagian yang paling comel tentunya raga atau bakul yang dipasangkan di depan dan ia datang dari Thailand. Tidak lupa juga, absorber yang menggunakan Ohlins Copy.
Bahagian enjin juga dinaik taraf menggunakan blok 56 Class 1 Leo Thailand, piston dari Sonic Custom, head 27/23 dan cam custom. Kemudian, crankshaft Wave 125 custom jet 4mm dan gear ratio Uma Racing 1 set. Magnet juga dikustomkan. Clutch pula menggunakan 4 spring, CDI dari Leo Thailand, Coil jenama MSD dan karburetor Honda NSR 28mm.
Tidak dapat dinafikan, Honda Wave 100R milik Kikie Lala ini tampil lebih menarik dan sporty, terutamanya selepas dipadankan dengan aksesori-aksesori tadi. Macam yang dikatakan awal tadi, saudara Kikie Lala memang bukan calang-calang bila bab mengubahsuai, kereta mahupun motosikal!