Berjuang Sehingga Saat Akhir, Mara Ke Hadapan Sebaik Dapat Peluang

Azroy Hakeem Anuar melakarkan kemenangan bagi pasukannya, Honda Yuzy Idemitsu apabila mendapat tempat pertama di sesi perlumbaan akhir di pusingan keenam, Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix bagi kategori CP150. Selepas lima pusingan berjuang untuk menaiki podium di tempat pertama, akhirnya Azroy berjaya mendapat peluang untuk menunaikan hasratnya.

Azroy memulakan perlumbaannya di petak grid kedua selepas sesi “Super Pole” dengan catatan masa 1’18:223s. Perlumbaan yang sengit di antara pelumba-pelumba CP150 yang handal ini, walaupun telah menipiskan peluang beliau untuk menguasai litar, Azroy tampak hebat dengan persembahannya.

Di lap kelapan, kedudukannya semakin tergugat apabila Azroy jatuh ke kelompok di belakang. Ini telah menguatkan lagi semangatnya untuk terus berjuang. Pada lap terakhir, Azroy berjaya membuka langkah di kelompok tiga teratas dan pada selekoh terakhir, beliau mendapat peluang untuk mara ke depan. Azroy menamatkan perlumbaannya di tempat pertama dengan catatan masa 14’29.364s.

Menurut Azroy, “Saya berterima kasih kepada pasukan kerana mereka telah mendapatkan penyelarasan yang baik untuk perlumbaan tadi. Perlumbaan tersebut sememangnya sengit dan saya hanya mencari jalan untuk menguasai litar tersebut.”

“Pada lap terakhir, saya merancang untuk berada di tempat kedua atau ketiga tapi rancangan saya tidak menjadi. Tapi mungkin kerana tempat tersebut ada tiupan angin dan saya terus dapat memintas sekurang-kurangnya empat atau lima buah jentera. Pada selekoh terakhir, saya berada di tempat ketiga dan terpaksa memintas Izzat Zaidi. Rancangan saya berjaya!”

Tempat kedua jatuh ke tangan Md Haziq Md Fairues dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor dengan catatan masa 14’29:376s. Md Akid Aziz dari pasukan ONEXOX TKKR Racing mendapat tempat ketiga dengan catatan masa 14’29:387s.

Bagi kategori CP125, Md Shafiq Rasol dari pasukan ONEXOX TKKR Racing Team menyambar tempat pertama. Pada perlumbaan tadi, Shafiq yang telah mengambil petak kesepuluh di grid telah memaparkan suatu persembahan yang mantap apabila berjaya menempatkan dirinya di kelompok hadapan pada awal perlumbaan. Walaupun kedudukan beliau tergugat di pertengahan perlumbaan, Shafiq tidak berputus asa.

Pada lap keenam, Shafiq mampu mengambil peluang menguasai kedudukan P1. Apabila perlumbaan bertambah sengit terutamanya selepas selekoh terakhir, Shafiq kekal tekad untuk mengambil masa terpantas. Dengan tiga lagi pelumba yang hebat mengejar kedudukan pertama, Shafiq tidak mengalah lalu berjaya di tempat pertama.

Menurut beliau, “Keadaan tayar pada hari ini bagus. Saya bermula di petak kesepuluh tetapi saya mampu mengambil tempat di kelompok hadapan. Sepanjang perlumbaan, saya hanya cuba mengawal kelajuan dan mempertahankan kedudukan saya.”
Shafiq menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 11’22.595s.

Tempat kedua milik Abdullah Qayyum Abd Razak dari pasukan ONEXOX Racing Team dengan catatan masa 11’22:636s. Di tempat ketiga, Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff dari pasukan PETRONAS SPRINTA YAMAHA – CKJ RACING mencatatkan masa 11’22.678s.

Sementara itu, bagi kategori Wira KBS, Md Syamil Amsyar Md Iffende dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing menamatkan perlumbaan akhir dengan masa terpantas. Selepas dua pusingan mengharungi cabaran yang menggugat persembahannya di litar, Syamil kembali dengan kemenangan apabila beliau berjaya menguasai perlumbaan tersebut di samping persaingan yang sengit bersama pelumba sepasukannya.

Syamil yang telah memulakan perlumbaan di petak grid kedua telah menandakan nada positif apabila beliau memecut ke hadapan lalu mengambil kedudukan P1. Walaupun beliau di pintas di lap ketiga oleh Md Adam Haikal Jahar, Syamil memperkukuhkan momentumnya sehingga mendapat peluang untuk menyambar kedudukan di P1 pada lap keempat.

Persaingan di antara duo sepasukan ini kemudiannya berterusan dengan Syamil dan Adam masing-masing mencuba untuk mendapat masa terpantas dengan Syamil mendahului perlumbaan tersebut. Perlumbaan tersebut berakhir apabila Syamil berjaya mempertahankan kedudukannya di P1 sehingga ke garisan penamat. Beliau mencatatkan masa terpantas 10’05:720s.

Menurut Syamil, “Persaingan tadi sememangnya sengit terutamanya dengan rakan sepasukan saya namun saya mampu mempertahankan kedudukan saya. Perlumbaan yang sangat bagus bagi saya.”

Adam pula yang tidak jauh mencatatkan masa terpantas, 10’05:747s sekaligus mengambil tempat kedua. Di tempat ketiga, Md Danish Aiman Zamrul mencatatkan masa 10’09:651s.