Entah mungkin kebetulan agaknya, sesi fotografi motosikal bulan lepas banyak melibatkan jentera 250 dan kebetulan juga pemilik kesemua motosikal ini di kalangan mereka yang telah berusia. Berbeza dengan trend anak muda sekarang yang gemar ‘menyimpan’ motosikal tua ini di hujung minggu, golongan otai menganggapnya cebisan sejarah yang tidak harus dimanjakan yang patut ditunggang seharian untuk menikmatinya.
Theirumany adalah antara beberapa pemilik TS250 yang masih setia menunggang motosikal klasik ini. mungkin ramai yang bertanya samada ia praktikal atau tidak? Motor ini berusia lebih 40 tahun tapi bila melihat keadaannya, anda pasti tidak percaya ia setua itu. Jentera keluaran 1973 ini telah melalui proses restorasi yang kompleks, mengambil masa bertahun dan perit jerih hanya pemiliknya sahaja yang tahu.
Ia dibeli dalam keadaan menyedihkan lebih 5 tahun lepas. Theirumany mendapat idea untuk memiliki motosikal ini berdasarkan faktor rarity. Saya percaya, ia satu-satunya TS250 yang berjaya dibaikpulih dengan lengkap mengikut spesifikasi asal kilangnya di Jepun. Walaupun peralatan gantiannya semakin sukar, namun dengan usaha gigihnya selama bertahun, peralatan ini banyak berjaya disatukan semula. Ada yang datang sejauh Amerika Syarikat dan juga India.
Pada awal penghasilannya, motosikal ini merupakan barisan dirt bike pertama Suzuki yang dijual kepada dunia. Sebagai pelopor kepada teknologi enjin 2 lejang ketika itu, motosikal ini direka supaya mampu mengharungi pelbagai permukaan jalan, ringkas dengan satu selinder sejukan udara dan kerangka tiub dan pemasangan parts berlainan sudut. Ia memudahkan penyelenggaraan dan menjadikannya murah untuk dimiliki.
Jika dibandingkan dengan teknologi moden hari ini, TS250 ibarat radio transistor vs pemain cakera padat. Kesemua yang dicipta pada motosikal ini hanyalah untuk memenuhi keperluan asasnya sebagai pengangkutan 2 roda yang dipercayai. Malah brek hadapannya masih merupakan brek gelendong. Sistem pendawaian paling kompleks pun hanya melibatkan bahagian meter dan lampu sahaja.
Menjejak semula peralatan motosikal ini merupakan cabaran terbesar di mana setiap satu terpaksa dicantumkan dari spesifikasi berbeza. Misalnya gabungan meter hadapan yang menggunakan set dari spesifikasi MPH berbanding KMH. Lampu utama hadapan dan kedua-dua ‘batang’ lampu isyaratnya merupakan model compatible dari motosikal lain. Kalau nak cari yang asli nescaya boleh terkena serangan jantung bila tengok harganya.
Peralatan yang boleh ditukar pakai dari bahagian aftermarket termasuklah bar hendal hadapan, engkol penghidup, bar pemegang belakang dan suspensi belakang. Bahagian-bahagian ini dicelup lapisan krom seperti asal menjadikan bentuknya sehampir mungkin dengan spesifikasi kilang tahun 1973 dulu. Walaupun kebanyakan masanya ia ditunggang di atas aspal, Theirumany lebih gemar menggunakan tayar jenis dirt yang sebenarnya dari model TM250. Lebih garang kata beliau.
Warna akhir yang dipilih ialah hijau solid, sepertimana rekaan motosikal lama, bahagian yang menerima warna cuma di bahagian tangki minyak dan penghadang aksesori sisi yang menempatkan bateri dan kelengkapan kecemasan. Walaupun bahagiannya sedikit tetapi ia memberi impak keseluruhan yang dominan.
Sehingga hari ini, kebanyakan pemilik motosikal klasik merupakan manusia yang paling sabar saya kira. Ada yang sanggup berkonvoi dari KL ke Port Dickson dan sejauh Thailand. Mereka tak pentingkan kelajuan, semuanya tentang kepuasan.