Sejak dari zaman remajanya, beliau memang meminati kenderaan beroda dua. Motosikal pertama yang dimilikinya ialah sebuah Suzuki Best 110cc. Sebuah cub memulakan bibit cintanya terhadap motosikal dan aktiviti permotoran yang mula menular di era 90-an. Semenjak itu, Hafizan Hj Hassan telah menyimpan hasrat untuk memiliki ‘easy rider’ idamannya satu hari nanti.
Bapa penyayang ini berkongsi minat yang sama dengan isterinya. Berdikit dari Yamaha RX-S dan Modenas Jaguh diikuti rezeki yang semakin bertambah, Hafizan bergiat aktif dalam arena permotoran tanahair dikenali di kalangan peminat motosikal kerana beberapa acara-acara anjurannya mendapat sambutan hangat. Sokongan tidak berbelah bahagi dari keluarga, Hafizan mula bergiat dengan aktif sejak memiliki Vulcan 750 impiannya beberapa tahun lepas.
Beliau juga merupakan orang kuat kelab motosikal Red Rider MC yang ditubuhkan pada tahun 2010. Sebagai penggiat dunia permotoran, beliau sedia maklum tentang kekurangan platform untuk pemilik motosikal berhimpun dalam satu acara. Hal ini mencetuskan idea untuk beliau menganjurkan Bingit International Bike Fest serta beberapa acara permotoran terkenal tanah air.
Penganjuran pertama kali Bingit di Taman Tasik Titiwangsa dahulu telah menyaksikan kehadiran puluhan ribu pengunjung dan ribuan motosikal berhimpun. Dari kumpulan superbike hingga cub dan street cub klasik, motosikal zaman perang hingga ke zaman futuristik. Ia antara acara yang disebut-sebut sebagai perhimpunan motosikal terbaik sepanjang tahun itu.
Hafizan turut bergiat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan seperti konvoi bersama anak yatim, pertunjukan aksi stunt motosikal, program-program amal dan acara konvoi bermotosikal setempat. Setelah berkecimpung lama dalam industri ini, beliau berhasrat untuk menganjurkan acara bertaraf antarabangsa sepertimana acara terkenal serantau Phuket Bike Week yang kini menjadi tumpuan dunia.
Mengakhiri bicaranya, Hafizan tidak lokek memberi pesanan kepada peminat motosikal supaya menjaga tatasusila ketika menunggang. Masyarakat sering melabelkan penunggang motor sebagai masyarakat kelas kedua dan persepsi tersebut perlu diubah. Ia sememangnya mengambil masa yang agak lama dan penunggang motosikal sendiri perlu berusaha mengangkat martabat bikers ke satu tahap yang membanggakan.