Ia adalah motosikal favourite rakyat Malaysia. Kawasaki Z800 atau dikenali dengan Z8 merupakan impian ramai orang untuk dimiliki. Enjin 4 silinder, kedudukan tunggangan naked dan harga yang kompetitif menjadikan motosikal ini laris sejak model pertama CKD diperkenalkan beberapa tahun lepas. Kalau dulu motosikal 4 silinder adalah ‘angan-angan Mat Jenin’ kerana harganya yang mahal, kini dengan rangkaian perbankan dan pinjaman yang banyak, hampir semua orang sudah mampu memiliki motosikal berkuasa tinggi.
Jejaka tinggi lampai dari Terengganu ini adalah antara peminatnya. Nama glamernya ialah Black Code, mungkin sebab beliau berkulit gelap hitam manis kacak macam KJ agaknya. Seingat saya kalau di Terengganu, motosikal berkuasa tinggi ini hampir tak pernah wujud 10 tahun lepas, cuma sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ia jadi fenomena hampir setiap daerah utama ada kelab dan konvoi ke KL tu boleh balik hari je pun. Terima kasih LPT 2 yang mendekatkan jarak hubungan menjadikan Terengganu kini lebih dekat.
Memiliki cahayamata dan pasangan yang tak mengongkong hobi beliau adalah satu tuah. Yalah, anda boleh tengoklah berapa ramai yang jenis banyak duit tapi nak beli motor pun kena sembah kaki isteri, apa benda hidup macam tu tak seronok langsung. Ada yang kata sebab keselamatan, bawa motor ini bahaya, kemalangan maut dan macam-macam lagi. Kalau percaya dengan qada dan qadar Tuhan dah tetapkan kita ini mati di mana dan apa caranya. Bak kata kawan saya Jemizan Abu Bakar, mati bukan sebab usia. Tengok hari ini macam-macam jenis penyakit dan yang kena bukanlah faktor usia. Penyakit diabetes, jantung, hari ini kalau anda perasan banyak yang umur muda-muda.
Black baru bermain motor berkuasa tinggi sejak beberapa tahun lepas. Perkara pertama yang dibuat bila beli motor ini ialah konvoi ke seluruh semenanjung Malaysia dan barulah beliau sedar bahawa Malaysia ini negara yang kecil. Sejak dari hari itu, beliau menyimpan angan-angan untuk menjelajah ke luar negara. Namun disebabkan kesibukan perniagaannya, hasrat itu terpaksa ditangguh beberapa kali. Begitupun dalam sibuk-sibuk pengalaman berharga yang lain berjaya dikutip pada siri jelajah Borneo yang pernah diikutinya.
Dalam tempoh itu juga, Black bergaul dengan pelbagai peringkat umur, kelab dan dari lokasi berbeza. Mendapat kenalan baru lebih mudah dengan geng motor, sebab bukan macam kelab kereta yang dibahagi mengikut model, jenis motor tidak dipandang. Yang penting semangat setiakawan, seperti kata brader-brader – ‘kita rider tiada beza’. Sebab itu kalau tengok brader tunggang Kawasaki GTR tolong motor posmen berhenti tepi, itu perkara biasa. Anda pernah tengok orang pakai Nissan GTR berhenti bila nampak Kelisa rosak? Hahahahaha!
Dunia motosikal berkuasa tinggi hari ini bukanlah lagi didominasi oleh golongan elit. Saya baru balik dari Jakarta dan terkejut bila tahu harga motosikal mereka jauh lagi mahal dari yang sedia mahal kita bayar di Malaysia. Tengok kawan beli CBR dengan harga Panigale kat sana. Jadi, bak kata Menteri, bersyukurlah, Malaysia masih murah dan yang penting, aman!