Penunggang motosikal kini bukan sahaja berdepan risiko di jalan raya terbuka, malah terdedah kepada bahaya sejurus jentera diperlahankan dan berhenti di persimpangan lampu isyarat. Dalam sekelip mata, persimpangan tersebut bertukar menjadi zon maut. Penunggang motosikal kini menjadi mangsa paling rapuh. Terdedah kepada rempuhan dahsyat dari arah belakang sewaktu sedang patuh menunggu giliran.
Satu trend kemalangan yang amat membimbangkan semakin kerap menghiasi media sosial tempatan. Beberapa insiden berdarah baru-baru ini menyaksikan penunggang motosikal termasuk rakan-rakan penghantar makanan yang bertarung nyawa mencari rezeki, menjadi mangsa rempuhan dahsyat dari arah belakang sewaktu sedang berhenti patuh di lampu merah.
Malang tidak berbau, walaupun penunggang sudah melakukan tindakan yang betul dengan memperlahankan jentera dan berhenti seawal mungkin, kecuaian pemandu lain yang gagal membrek atau hilang kawalan akhirnya meragut nyawa insan yang tidak berdosa tepat di tempat kejadian.
Mengapa Ia Berlaku?
Ia menimbulkan persoalan besar tentang tahap kesedaran dan pemanduan berhemah di jalan raya kita. Majoriti kes rempuhan belakang di persimpangan berpunca daripada sikap pemandu kenderaan yang hilang tumpuan. Antara punca utamanya:
Penggunaan Telefon Bimbit: Leka menatap skrin sewaktu menghampiri persimpangan hingga terlepas pandang kenderaan yang sudah berhenti.
Memandu Dalam Keadaan Mengantuk/Lapar: Kepekaan dan masa tindak balas pemandu terjejas teruk.
Sikap ‘Mengejar’ Lampu: Memecut apabila lampu bertukar kuning/merah tanpa menyedari penunggang di hadapan sudah pun berhenti.
Kegagalan Mekanikal: Masalah sistem brek atau tayar haus yang gagal menghentikan kenderaan berat dalam jarak selamat.
Sikap mengabaikan garis laluan dan jarak selamat ini menjadikan penunggang motosikal di hadapan seperti “sasaran empuk” yang tidak mampu mempertahankan diri daripada impak tenaga kinetik kenderaan yang lebih besar.
Pemanduan Defensif: ‘Red Light Survival’ Buat Penunggang
Meskipun undang-undang dan etika jalan raya meletakkan kesalahan 100% di bahu kenderaan yang merempuh, penunggang motosikal tiada pilihan selain mengamalkan teknik pemanduan defensif yang lebih agresif. Menunggu di lampu merah tidak lagi bermakna anda boleh ‘berehat’ atau leka.
Setiap kali anda berhenti di persimpangan, jadikan langkah keselamatan ini sebagai tabiat wajib demi mengurangkan risiko terbabit dalam tragedi rempuhan belakang.
Langkah Survival di Lampu Merah
1.Cermin Sisi Sentiasa ‘On’
Jangan alih pandangan daripada cermin sisi sehingga anda pasti 2 atau 3 buah kenderaan di belakang betul-betul telah berhenti sepenuhnya.
2.Cari & Ambil ‘Escape Route’ (Laluan Pelepasan)
Elakkan berhenti tepat di tengah-tengah lorong. Berhenti sedikit ke tepi (kiri atau kanan lorong) supaya jentera anda mempunyai ruang pelepasan jika kenderaan belakang gagal membrek
3.Kekalkan Gear Satu & Tuas Brek
Sentiasa kekalkan gear satu dan pegang tuas klac/brek. Ini membolehkan anda memecut serta-merta sekiranya melihat kenderaan di belakang datang dengan kelajuan yang mencurigakan.
4.Beri Isyarat Visual (Pulsing Brake)
Tekan dan lepas tuas brek beberapa kali sewaktu berhenti untuk menyalakan lampu brek secara berulang. Isyarat kelipan ini lebih mudah menarik perhatian pemandu yang leka di belakang.
Infrastruktur & Penguatkuasaan: Adakah Ia Cukup?
Isu ini turut membuka ruang perbincangan mengenai reka bentuk jalan raya dan penguatkuasaan. Kewujudan zon khas motosikal (bike box) di hadapan garis lampu isyarat amat membantu, namun ia kerap disalah guna atau dihalang oleh kenderaan empat roda. Di samping itu, keperluan terhadap kamera pengesan kesalahan lampu merah (AES) dan hukuman yang lebih berat kepada pemandu cuai perlu diperketatkan lagi demi memberi pengajaran berkesan.
Pulanglah Dengan Selamat
Keselamatan di persimpangan lampu isyarat memerlukan tindakan dua hala. Bagi pemandu kenderaan empat roda atau lebih, beringatlah bahawa di atas motosikal yang berada di hadapan anda itu adalah seorang ayah, ibu, anak, atau ahli keluarga yang sedang berjuang mencari rezeki dan menunggu masa untuk pulang ke rumah. Jangan biarkan saat-saat kealpaan anda di garis merah menjadi punca terpadamnya satu nyawa.