Anak Ayah; Azua Dan Yamaha Stryker Berpisah Tiada!

Gadis kecil molek berjiwa besar, Azua Saffa merupakan seorang pengurus perniagaan makanan 343k Love To Eat (Lubuk Asam Pedas & Patin Tempoyak di Kajang). Tunggu dulu, kita bukan nak review makanan ya. Nampak sahaja kecil dan molek orangnya tapi motor yang ditunggangnya… amboi, amboi, amboi. Yamaha Stryker yang sangat menarik.

Sejak kecil lagi gadis ini terdedah dengan dunia motor. Maklumlah, ayahnya iaitu En. Agus merupakan seorang pengumpul motor-motor berkuasa tinggi dan gemar aktiviti lasak. Justeru, Azua tidak lari dari dunia permotoran. Nak tak nak, family pun terpaksa ikut serta.

Seawal umurnya 18 tahun, Azua telah mengambil lesen B full, hasil dorongan kedua ibu bapanya. Walaupun beliau sudah biasa menunggang jenis model motor yang berbeza, sebagai warganegara Malaysia yang baik, kita diwajibkan memiliki lesen memandu mengikut kelas yang telah ditetapkan. Ok? Jangan lupa tu!

Sebenarnya, kita bersama Azua and the gang iaitu kumpulan Lilau Malaya menyelusuri negeri dalam ride mencari durian yang juga aktiviti biasa beliau apabila mempunyai waktu lapang bersama keluarga dan rakan-rakan. Perjalanan mereka bermula dari Kuala Lumpur menuju ke arah utara tanah air. Tu dia…. punyalah jauh mencari deriyan!

Bukan senang untuk mengendalikan motor saiz begini tetapi Azua berjaya membuktikannya. Motor Yamaha Stryker ini jika dikira jumlahnya di Malaysia memang tak banyak dan sangat terhad. Jadi, kalau bab yang pelik-pelik tu memang senang sungguh nak ingat. Memang motor Yamaha Stryker ini besar dan berat tetapi menurut Azua, dengan sedikit kemahiran dan disiplin, sesiapa sahaja boleh mengendalikannya.

Versi motor ini pada asalnya didatangkan tanpa sebarang aksesori tambahan dan memandangkan hobi ayah Azua mengubahsuai dan modifikasi motor, Yamaha Stryker ini menjadi bertambah menarik. Ditambah pula dengan kehadiran wing bar yang dipasangkan di bahagian hadapan kiri dan kanan motor. Manakala tong pizza pula disisipkan di bahagian belakang untuk mengisi barang.

Dari sudut prestasi, tidak banyak yang dilakukan. Boleh dikatakan, bahagian enjin dikekalkan dalam keadaan standard. Bagi menambah kuasa pada motor ini pula, sedikit pengubahsuaian dilakukan pada bahagian ekzos. Kelajuan bagi model ini bukanlah satu masalah kerana ia dah cukup laju. Jentera ini boleh memecut dari 0-100 tanpa sebarang masalah walaupun berat. Bukan calang-calang orang boleh ride chopper besor nih komer!

Disediakan oleh : En.Bob