Aveta Malaysia sekali lagi mengukir nama dalam industri dua roda negara apabila mencatat rekod penyerahan motosikal terbesar di Malaysia, seperti yang diiktiraf oleh Malaysia Book of Records. Majlis bersejarah ini berlangsung pada 5 Julai 2025 di Seberang Perai, Pulau Pinang, dengan kerjasama pengedar sah, CKT Motor.
Sebanyak 168 unit motosikal Aveta diserahkan kepada pemilik baharu dalam satu majlis yang meriah, melibatkan dua model utama jenama itu – Vanguard 250 dan Nova 160. Kejayaan ini membuktikan pertumbuhan pesat Aveta di Malaysia serta sambutan luar biasa terhadap produk terbaharunya sejak pelancaran awal tahun ini.
Dengan lebih 10,000 tempahan direkodkan di seluruh negara untuk kedua-dua model tersebut, Aveta kini menjadi antara jenama yang semakin menyerlah dalam kategori motosikal ATC dan skuter komuter urban. Kejayaan ini turut menggambarkan keyakinan pengguna terhadap kualiti dan prestasi jenama tempatan ini.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan Aveta, Steven Lim, acara ini bukan sekadar penyerahan kenderaan, tetapi simbol kepada semangat inovasi, komuniti dan misi jenama untuk menetapkan penanda aras baharu dalam industri permotoran. Kehadiran para pengedar, pemilik dan rakan kongsi menjadikan majlis ini lebih bermakna.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran YB Dato’ Haji Rashidi Bin Zinol, EXCO Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan & Luar Bandar Negeri Pulau Pinang, selain beberapa pemimpin kerajaan tempatan. Ia mencerminkan sokongan terhadap industri automotif tempatan yang terus berkembang.
Selain menghasilkan motosikal berkualiti tinggi, Aveta juga memberi penekanan kepada kepuasan pelanggan dan sokongan selepas jualan. Melalui rangkaian pusat servis dan program Aveta Care on Wheels yang menawarkan servis dari pintu ke pintu, jenama ini terus komited untuk memberikan pengalaman pemilikan terbaik kepada para pelanggannya.